Wednesday 3 August 2011

Aku dan facebook

Seawal jam 3.00 pagi ketika aku membuka facebook sudah ada yang ingin chat. Aku sudah terbiasa bangun agak awal untuk kegiatan akademik iaitu membaca dan menulis.

Menjadi salah satu kegemaranku ialah meneliti facebook dan melihat apakah perkembangan terkini kawan-kawan dan lain-lain.

Kadang-kadang aku terjaga lebih awal dan kadang-kadang lebih lewat. Selepas solat dan baca Al-Quraan aku mula menghadap komputer sambil otakku berfikir untuk menulis apa hari tersebut.

Ketika azan subuh kedengaran dari mesjid berdekatan rumahku, aku akan segera ke mesjid untk solat jamaah dan sambung menulis atau membaca selepas pulang dari mesjid. Itu sudah menjadi rutinku setiap hari dalam mengharungi hari tua yang teman-temanku istilahkan sebagai RTM iaitu Rehat Tunggu Mati.

Sadis betul teman-temanku yang memberikan akronim demikian untuk RTM. Apakah benar kita hanya melakukan demikian? Padaku waktu usia lanjut ini boleh dimanfaatkan untuk kebaikan.

Melayari facebook (FB) tidak salah asalkan digunakan untuk kebaikan, mungkin di antara pelayar-pelayar FB itu mantan anak didikku yang boleh ku bantu mereka dalam memberi panduan atau nasihat, mungkin juga mantan teman sekolahku yang sudah lama tidak kontak dan lantas menjadi mesra kembali kerana FB atau ada yang iseng (main-main) untuk menghabiskan waktu tanpa tujuan tertentu, atau saudara-saudaraku yang baru bertemu di FB dan ingin bicara lebih lama. Akhirnya FB menjadi suatu saluran komunikasi yang efektif.

Biar pun apa motif seseorang menggunakan FB, yang sangat penting ialah memanfaatkan waktu untuk kebaikan. Bicaralah terus terang apa yang diinginkan ketika mau chatting. Apakah mau bertanya sesuatu atau mau minta pendapat atau mau informasi dan lain-lain. Kejelasan ini memudahkan penerima chat di hujung sana.

Ada pelayar yang menggunakan nama samaran sehingga kita sukar untuk berkomunikasi dan tidak mengenal siapakah yang berada di komputer sana? Ada yang dalam foto profilenya meletakkan foto anak, kucing, bunga, dan berbagai lagi sehingga menyukarkan komunikasi. Ingin aku nasihatkan pelayar-pelayar yang begini bahwa anda mensia-siakan waktu yang begitu berharga yang boleh anda gunakan untuk tidur waktu dinihari. Setidak-tidaknya gunakanlah untuk sesuatu yang lebih bermanfaat daripada menggunakannya untuk yang kurang jelas maksudnya.

Juga ku ingin katakan bahwa jika aku tidak mengindahkan ajakan anda untuk chat dan kerana tidak mengenali anda, jangan sekali-kali salahkan aku kerana aku tidak kenal insan yang di hujung sana dan apa tujuan anda menghubungi aku di dini hari? Jika ingin berkomunikasi biar jelas identiti anda dan aku pun jelas dalam menjawab persoalan anda.

Biasanya aku akan gunakan untuk berdakwah, mengajak yang di hujung sana berbuat kebaikan, atau setidak-tidaknya cuba meninggalkan niat buruk atau kegiatan buruk yang dilaksanakan. Juga, sekiranya aku melihat foto-fotonya yang tidak sopan akan segera ku unfriendkan pelayar tersebut kerana kesopanan ialah amalan Rasulallah s.a.w. dan sopan itu indah dan indah itu menenangkan jiwa.

Beberapa hari lalu, ada pelayar yang chat mengenai masalah pribadi dan aku layan juga supaya akhirnya ditemukan suatu penyelesaian tertentu atau setidak-tidaknya terurai masalah yang dia hadapi. Aku menjadi pendengar yang baik. Biar pun aku tidak kenal siapa dia dan bagaimana rupanya sebenar namun rasa hati untuk membantu sesama insan ku teruskan juga chatting. Ada yang meminta aku menjadi ayah angkatnya, juga aku terima sekadar yang termampu membantu.

Juga, pada minggu yang lalu aku mengetahui satu kegunaan baru FB iaitu kolaborasi dalam penulisan, pengajaran, perbincangan dan sebagainya. Kita boleh membentuk satu FB khas untuk sesuatu tujuan dan membuat profilenya “secret” dan hanya membenarkan beberapa pelayar yang kita pilih untuk berinteraksi. Ketika kami mengadakan Bengkel Penulisan Buku Am, Prof. Abdullah Hassan menggunakan teknik ini bagi mengajar kami cara menulis.

Jauh sebelumnya saya sudah membentuk sebuah FB khas bernama “Ikatan Penulis Komited” dengan tujuan berkomunikasi saja. Namun apabila Prof Abdullah menggunakannya untuk pengajaran, perbincangan dan perkongsian kumpulan maka ternampak suatu kegunaan baru FB yang boleh digunakan oleh pendidik bagi pengajaran.

Mata pelajaran yang tidak melibatkan symbol matematik boleh menggunakan kaedah ini. Jika melibatkan symbol matematik atau formula sains agak sukar menyatakannya secara teks, mungkin kena scan dalam pdf atau jpeg dan dikepilkan bersama teks tersebut.

Marilah kita bersikap terbuka dengan FB dan memanfaatkannya untuk memandaikan bangsa kita. Istilah memandaikan bangsa, aku pinjam dari kata-kata Prof Abdullah, senior ku di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Jelas betul matlamat Prof Abdullah dalam tujuannya, dan aku juga ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa serantau Asean dalam ilmu dan juga pertuturan biasa. Kita bangun jatidiri kita dan jangan bergantung kepada jatidiri asing. Kita boleh maju dengan acuan kita sendiri dan berbangga dengan acuan kita sendiri.

Insya Allah, pada Jun 2012 akan diadakan sebuah Konferensi Rantau Asean dalam Sains dan Teknologi 2012 (KRAST2012) yang akan sepenuhnya menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia. Tempat konferensi yang pertama itu ialah di Universitas Panjajaran Bandung, yang begitu hampir dengan tempat kontrakan ku di Jalan Bangusrangin.

Usaha ini mendapat dokongan teman-teman dari Jakarta, Bandung dan Jogjakarta yang pernah belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM), yang mereka ikat menjadi suatu ikatan yang bernama “Ikatan Mahasiswa Indonesia di Malaysia (IKAMA)”.
Jika ada yang ingin informasi lebih lanjut boleh ke http://paptiikama.blogspot.com/ yang aku ciptakan khas untuk tujuan menjalin hubungan erat antara dua bangsa serumpun Malaysia dan Indonesia.

Inilah sekadar kegiatan hidupku yang sedang mengharungi sisa-sisa umurku demi cintaku kepada Allah dan sesama manusia.

No comments: