Tuesday 2 August 2011

Alat Komunikasi canggih dan keimanan

Hati ini cepat sangat berubah, sehingga dianjurkan dalam solat ketika kita sedang menunggu imam habis membaca surah, kita melafazkan, “ya muqalibal qulub, qalbi ala diinik (Wahai yang membolak-balik hati ini, tetapkan hati kepada agama)”. Mohon Allah menetapkan hati ini kepada agama kita. Kita mahu Allah mengistiqomahkan iman kita kepada agama Islam.

Dalam dunia kini, banyak sangat hal yang akan melalaikan kita kepada ingat kepada Allah. Baik yang muda atau yang tua begitu asyik dengan facebook, blackberry, ipad, email, chat, website dan berbagai peralatan komunikasi yang canggih-canggih dewasa ini. Alat-alat ini boleh merosakkan kita kalau tidak pandai memanfaatkannya untuk kebaikan kita dan ummah.

Dalam facebook misalnya, sudah tidak ada kerahsiaan maklumat lagi, semuanya didedahkan, dikhuatiri apabila maklumat-maklumat ini jatuh ke tangan jahil, mereka dapat merosakkan kehidupan kita dengan berbagai cara.

Silaturrahim secara bersemuka sudah jarang berlaku kerana boleh dibuat melalui internet. Walau pun berada dalam satu ruangan malah bersebelahan, manusia sudah jarang menggunakan suara sendiri melalui mulut sebagai alat komunikasi efektif, mereka lebih suka menggunakan alat komunikasi seperti blackberry, ipad dan internet untuk sms. Ini sangat mengurangkan rasa mesra antara sesama. Pada hal banyak perkara boleh dikongsi bersama antara dua individu kalau mereka berbicara bersemuka secara terus. Suasana menjadi mesra, caring dan bersahaja jika bercakap terus dan bertentang mata.

Oleh kerana alat-alat itu merosakkan kita, apakah kita akan campakkan semua teknologi terkini ke laut dan hidup kembali ke zaman tanpa alat-alat itu? Perlu diingat bahwa teknologi betapa canggih sekali pun tidak dapat mengganti hati dan akal cipta Allah yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta. Kita punya akal dan punya hati, Islam mengajar kita untuk menjadi sederhana dalam semua hal.

Berfacebook itu boleh tetapi bila tiba waktu solat atau mempunyai hal-hal lain yang penting, tinggalkan facebook itu dan utamakan yang utama. Baca “Fiqh Al-Awlawiyyat” karya Prof Dr Yusof Al-Qardhawi dan kita dapat membuat “technical correction” terhadap hidup ini. Mana yang utama diutamakan dan mana yang cabang atau furu’ ditepikan buat sementara.

Tetapkan matlamat hidup kita walau pun pada posisi mana kita berada. Jika anda seorang mahasiswa, tentu anda tahu di posisi mana anda berada dan tumpukan pengajian anda hingga berjaya. Jika anda suri rumah, posisi anda ialah membahagiakan rumah tangga bersama suami.Tiap manusia ada hak dan tanggungjawab masing-masing. Ikutlah hak dan tanggungjawab itu dan focus dalam melaksanakannya. Niat berbuat sesuatu kerana mencari redha Allah semata-mata bukan kerana yang lain.

Harapan kita ialah agar apa pun alat-alat teknologi terkini yang dihasilkan melalui tangan-tangan manusia tidak akan merubah kecintaan kita kepada Allah walau sesaat pun.

Kita mesti ingat Firman Allah dalam Surat Adz-Dzaariyaat (51), ayat 56, “Tidak kami ciptakan jinn dan manusia, kecuali untuk beribadah”. Sudah dinyatakan dengan jelas fungsi manusia di muka bumi ini. Lakukan apa saja di dunia ini dengan niat kerana Allah dan menurut cara Islam, maka semuanya akan ditransformasikan menjadi pahala dan mendapat nilai ibadah.

No comments: