Monday 8 October 2012

Berkawan melalui fesbuk

Media fesbuk ialah sebuah media maya yang kita tidak dapat membezakan antara manusia yang sebenar dengan manusia yang berpura-pura, kecuali kita pernah berjumpa dengan kawan fesbuk kita itu, maka sudah pasti kita dapat mengesahkan bahwa kawan fesbuk kita ialah orang yang sebenar (the real person).

Jika kita tidak mengenali kawan fesbuk kita, maka pengetahuan kita tentang kawan fesbuk tersebut sangat kabur dan ada kemungkinan besar kita akan tersalah memilih kawan. Ada yang guna foto profil artis terkenal, foto binatang peliharaan, foto pemandangan dan sebagainya sehingga kita tidak dapat mengenali wajah pemilik fesbuk tersebut sebenarnya.

Berkawan dan bersahabat ada bezanya. Apakah tujuan akhir kepada berkawan atau bersahabat? Elok kita bezakan antara berkawan dengan bersahabat. Tahap berkawan itu samalah dengan permukaan air, kita hanya boleh meneka kedalaman air dan tahu sedikit sebanyak tetapi tidak tepat. Bersahabat pula seperti air yang dapat kita rasa. Pahit atau manisnya air itu. Berkualiti atau tidak air tersebut. Dalam bersahabat kita mengenali hati budi seseorang. Matlamat akhir berkawan mungkin hanya berkenalan, tetapi matlamat akhir bersahabat ialah menuju kebajikan dan kebaikan yang abadi.

Dalam Islam peringkat jatidiri seseorang yang paling tinggi ialah taqwa dan orang-orang yang bertaqwa tidak mencari musuh, mereka mencari sahabat yang sejati kerana orang yang bersahabat pun akan bercakaran, kecuali yang bertaqwa, sesuai dengan ayat 67, Surah Al-Zukhruf:

“Pada hari itu (hari kiamat) sahabat-sahabat karib setengahnya menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa."

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, Rasulullah S.A.W bersabda, "Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat."

Jika kita bersahabat dengan orang baik, maka kebaikannya yang akan kita perolehi, tetapi jika kita bersahabat dengan orang jahat maka kejahatannya yang akan kita rasai.

Dalam Surat Al-Furqan, ayat 27 hingga 29 telah diberikan gambaran oleh Allah S.W.T mengenai betapa menyesalnya seseorang yang salah memilih kawan bagi menjadi sahabat dekatnya.

"Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si anu sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan melepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia.”

"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat sama seperti bersahabat dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)

"Jangan bersahabat dengan orang yang durjana nanti menjangkit kedurjanaanya kepada anda. Awas dari berkawan dengan rakan/sahabat yang jahat." (Al-Mustadrak ala al Sahihain)

"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." (Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)

“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)” (Riwayat Ahmad)

Matlamat akhir bersahabat ialah mencari redha dan cinta Allah kerana setiap yang hidup akan mati dan setiap yang mati akan bertemu dengan Allah membawa hasil tanamannya di dunia. Jika di dunia dia menanam kebaikan, maka pahala yang akan diperolehi di akhirat dengan ganjaran syurga dan jika dosa yang dia kumpulkan maka nerakalah jawapannya. Azab Allah itu amatlah pedih.

Sejak akhir-akhir ini saya mula membersihkan kawan-kawan fesbuk yang tidak saya kenali. Oleh kerana kawan-kawan fesbuk saya sudah mencecah melebihi lima ribu orang, maka tersekatlah kawan-kawan yang ingin bersahabat secara jujur dengan saya akibat daripada kehadiran kawan-kawan yang tidak saya kenali. Maka dengan rasa terpaksa saya “unfriend” kawan-kawan yang berselindung di bawah profil artis terkenal, binatang peliharaan, flora dan fauna dan sebagainya bagi memberi ruang kepada yang benar-benar ingin bersahabat.

Bersahabat kerana Allah dan mencari cinta Allah yang sejati.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 9 Oktober 2012.


No comments: